Sabtu, 24 Januari 2015

KEMPEN 10000 LANGKAH-Setiap Langkah Membawa Faedah

 

Kelab Doktor Muda SKFBT (KDM) dengan kerjasama Pejabat Kesihatan Daerah Kubang Pasu akan mengadakan Kempen 10 000 Langkah bermula pada 25 Januari 2015 iaitu pada hari Ahad nanti.

Kempen 10 000 Langkah ini merupakan strategi KDM untuk menggalakkan amalan yang baik untuk kesihatan dalam kalangan para pelajar dan seluruh warga sekolah.

Kementerian Kesihatan Malaysia telah melancarkan Kempen Berjalan 10 000 Langkah pada tahun 2009 bagi menggalakkan rakyat Malaysia khususnya golongan yang kurang aktif dalam melakukan aktiviti fizikal untuk menjadi lebih cergas.

Kempen ini pada mulanya disasarkan kepada golongan wanita berumur 18 tahun ke atas memandangkan golongan ini merupakan kumpulan yang tidak aktif berbanding lelaki
berdasarkan hasil Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS III) pada tahun 2006 yang lalu (47.3% tidak aktif). Rakyat Malaysia terutamanya golongan dewasa berdepan dengan pelbagai masalah kesihatan antaranya masalah obesiti, diabetes dan pelbagai lagi.

Namun begitu Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan pada tahun 2011 (NHMS IV) oleh Kementerian Kesihatan Malaysia menunjukkan 64.3% rakyat Malaysia yang berumur 16 tahun ke atas aktif. Ini secara tidak langsung menunjukkan kejayaan kempen Berjalan 10 000 Langkah sebagai antara penyumbang dalam usaha menggalakkan masyarakat menjadi lebih aktif.


KDM mengambil komitmen untuk memperkenalkan gaya hidup sihat melalui Kempen 10 000 Langkah ini kepada para pelajar yang masih muda kerana kesedaran tentang gaya hidup kini banyak mempengaruhi kanak-kanak. Hal ini juga bertepatan dengan hasrat Kementerian Pendidikan Malaysia yang turut menjadikan Berjalan 10 000 Langkah sebagai tema Program 1 Murid 1 Sukan pada 2013.

Oleh yang demikian, semua ahli KDM serta guru-guru penasihatnya beriltizam untuk membudayakan aktiviti berjalan 10 000 langkah sebagai perintis dan diharap menjadi pemangkin serta dicontohi oleh seluruh warga sekolah dan komuniti setempat.

Ayuh, setailah kempen ini dan jadikan gaya  hidup sihat sebagai amalan  kita!!






Tiada ulasan:

Catat Ulasan